Lelaki Solat Pakai Jeans, Wanita Tanpa Telekung..Mengapa?






                                        


Ketika aku berkunjung ke Batu Ferringhi Penang, Kebetulan disapa oleh sekumpulan cewek dari Indonesia ala-ala Bunga Citra Lestari. Berpakaian dengan mini skirtnya. Rambut curl. Ada yang hanya berbaju tali gantung. Dengan high heels-nya. Seolah-olah aku sedang menyaksikan Drama Sinetron Bawang Merah Bawang Putih."Permisi Mas. Di mana tempatnya Musalla orang solat?" tanya salah seorang cewek kepada aku. Mungkin barangkali mereka sangkakan aku ini orang Indonesia. Mahu sahaja aku beritahu aku ini bukan Ashraff Sinclair. Tapi cuma fad imam kampung je....


"Oh. Kapannya di sebelah sana. Belakang parkir kereta," aku menjawab dengan berbahasa Indonesia yang terkeluar dari skema Dewan Bahasa Dan Pustaka Indonesia. Mereka tertawa kecil dengan jawapan aku.Pada aku budaya orang di Indonesia berbeza dengan budaya di Malaysia. Tidak menjadi sesuatu yang mustahil apabila seorang wanita yang tidak menutup aurat masuk ke surau dan memakai telekung yang disediakan lalu mengerjakan solat. Malah majoritinya tanpa rasa segan silu. Walaupun ada pertanyaan di benak hati aku, namun aku melihat ianya dari sudut positif. MEREKA TIDAK TINGGALKAN SOLAT!


Aku berkunjung di Plaza Bukit Jambul Penang. Apabila tiba waktu solat, aku dijemput mengimamkan solat. Di belakang aku ramai remaja lelaki dan perempuan. Yang lelaki memakai jubah kebanyakannya. Aku sangat kagum. Namun selesai salam dan berpisah untuk ke ruang makan, kebanyakan si lelaki menanggalkan jubah mereka dan mengenakan seluar pendek. Walaupun tidak semua, namun ianya satu lagi persoalan kepada aku. Walaupun begitu saya masih mengambil yang positif. Dalam persoalan ibadah, MEREKA MEMENTINGKAN SUNNAH!


AKU juga berkunjung ke Berjaya Times Square Kuala Lumpur. Ketika melalui surau di tingkat lapan, ada sekelompok remaja lelaki dan perempuan sedang menunggu rakan mereka di luar surau. Aku yang sedang memakai kasut mula bertegur sapa. Aku bertanya kepada mereka, kenapa mereka tidak solat sekali dengan rakan-rakan yang lain. Agak menakjubkan jawapan mereka. Si lelaki mengatakan ia berseluar jeans. Kotor berpeluh. Di dalam surau tiada kain pelikat katanya. Yang si perempuan pula berkata, "Saya tidak membawa telekung. Lagipun telekung di dalam surau tu dah terlalu kuning lusuh warnanya."Sekali lagi pelbagai persoalan yang timbul di benak fikiran aku. Saya masih mengambil yang postitif. MEREKA MEMENTINGKAN KEBERSIHAN UNTUK BERTEMU ALLAH!


Islam itu mudah dan ia tidak menyukarkan umatnya. Malah ianya meraikan semua golongan bangsa dan warna kulit. Budaya sesuatu bangsa itu terbentuk hasil daripada sudut pandang nilai yang sama.Kehidupan masa kini berbeza dengan suatu ketika dahulu. Perubahan zaman dengan corak kehidupan yang lebih pantas dan memerlukan pergerakan yang lebih luas membuatkan beberapa isu budaya yang perlu diubah. Masyarakat terutamanya wanita yang dilihat kini lebih banyak berurusan dengan situasi kerja dan urusan harian membuatkan beberapa kesukaran terjadi akibat keterikatan dengan budaya masa lampau.


Pemakaian Telekung di Nusantara 


Pemakaian telekung adalah satu struktur budaya keagamaan yang dibentuk dalam komuniti masyarakat Islam di Nusantara. Ianya terbukti sesuatu yang amat baik jika dilihat dari aspek kesempurnaan ibadah. Para ulama Melayu dahulu amat teliti dalam memastikan kesempurnaan ibadah umat ketika itu. Pemilihan bentuk telekung yang longgar, lebar dan mudah disarung menjadikannya sesuai untuk semua generasi umur dan bentuk  badan. Ini bersesuaian dengan arahan Allah SWT di dalam al-Quran yang menghendaki kita memakai pakaian yang baik ketika mendirikan solat.


Di dalam surah al-A'raaf ayat 31 yang bermaksud:


يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُواْ زِينَتَكُمۡ عِندَ كُلِّ مَسۡجِدٍ۬ وَڪُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ وَلَا تُسۡرِفُوٓاْ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُسۡرِفِينَ


Hai anak Adam, pakailah perhiasanmu (pakaian) yang indah disetiap kali kamu (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih lebihan.Menurut Sheikh Khatib Al-Syarbini dalam kitabnya Mughni Muhtaj telah menguatkan pendapat daripada Ibn Abbas RA mengatakan bahawa maksud memakai pakaian yang indah setiap kali memasuki masjid ini adalah merujuk kepada pakaian ketika sembahyang.


Ibnu Hazm pula memahami maksud 'perhiasan' disini adalah menutup aurat.Telekung Pada Masa KiniAurat wanita ketika sembahyang sama sahaja seperti aurat wanita di luar sembahyang. Sepertimana batasan aurat wanita yang digunapakai oleh masyarakat di Malaysia dengan merujuk kepada pandangan Mazhab Syafie iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.


 Berasaskan kepada pandangan ini, tidak semestinya telekung sahaja yang boleh dijadikan pakaian sembahyang. Baju kurung, jubah, blaus juga boleh dijadikan pakaian sembahyang walaupun ianya bukan berwarna putih.


Lelaki dan Solat


Bagi lelaki pula, kebersihan, kecantikan dan wangi-wangian menjadikan sembahyang mereka lebih baik pada zahirnya disisi Allah SWT. Ini kerana situasi menghadap Pencipta Yang Maha Agung itu memerlukan lebih berketerampilan berbanding berhadapan manusia lainnya.Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa, selagi pakaian yang dipakai itu tidak jelas padanya najis yang boleh merosakkan solat, maka sah solat yang kita kerjakan dengan berpakaian biasa. Malah remaja lelaki yang berpakaian serba fesyen terkini, samada berseluar jeans, baju yang pelbagai bentuk warna juga boleh mengerjakan sembahyang tanpa merasakan janggal. Kerana Islam tidak pernah menyusahkan untuk melakukan sembahyang.


Penutup


Ini bukan kempen 'tak pakai tudung takpa janji hati baik'. Ini juga bukan kempen menghapuskan pakaian yang indah ketika solat. Namun ini adalah kempen untuk memudahkan solat kepada setiap manusia.Islam itu mudah. Ianya sesuai dalam kehidupan seharian umat. Allah lebih mengetahui perihal keadaan hamba-hamba-Nya. Islam tidak hanya meraikan kelompok manusia yang sentiasa berada dalam kelapangan. Ia juga meraikan umat yang sibuk dan penuh dengan tugasan harian. Sembahyanglah anda walau di mana anda berada.

1 comments:

Adam said...

hi, awak fadli ye? best jgk baca..

Post a Comment

Takkan baca jer kot...




Back to Top